Keperluan AKKP 1994

Keperluan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan di Kencana HL Sdn Bhd dalam Skop Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan 1994 Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996

ABSTRAK

Keperluan membentuk Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan syarikat adalah satu kehendak undang-undang yang harus dipatuhi. Terdapat dua (2) jenis organisasi jawatankuasa keselamatan dan kesihatan di permis Kencana HL Sdn Bhd iaitu jawatankuasa pusat dan projek. Setiap ahli dilantik mengikut perkiraan lantikan calon dari wakil pekerja dan pengurusan. Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan Kencana HL Sdn Bhd berfungsi sebagai organisasi yang mendukung visi dan misi syarikat yang ditunjangi oleh Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar yang mengandungi sembilan (9) element. Isu keselamatan dan kesihatan akan dibawa ke dalam persidangan mesyuarat akan dibincang dan diputuskan secara muktamad oleh majlis. Kertas ini juga menghuraikan tentang peranan promosi dan komunikasi untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan dapat disampaikan secara berkesan. Terdapat tiga (3) kaedah asas iaitu komunikasi verbal, non-verbal dan contoh tingkah laku. Seterusnya bagi memastikan setiap ahli jawatankuasa keselamatan dan kesihatan berkemahiran dan berpengetahuan, latihan yang spesifik harus dirancang.

Pengenalan

Kencana HL Sdn Bhd telah ditubuhkan pada 1982 sebagai kontraktor tempatan yang terlibat dalam lapangan kejuruteraan berat fabrikasi minyak dan gas di Malaysia. Sejak awal penubuhannya lagi, Kencana HL Sdn Bhd telah dikenali sebagai sumber utama tenaga mahir dalam melahirkan pengimpal, ‘riggers’, dan ‘fitters’ yang terlatih bagi industri kejuruteraan berat di daratan mahupun laut lepas. Disamping itu Kencana HL Sdn Bhd juga terlibat dengan kejuruteraan pemprosesan paip gas, pepasangan elekrikal dan pembangunan saluran paip bawah dan atas tanah.

Kencana HL Sdn Bhd beroperasi di tapak perindustrian di Lumut, Perak yang mana dilengkapi dengan peralatan moden termasuk kren berat jenis merangkak (crawler), bergerak (mobile) dan ‘overhead’, mesin janakuasa dan alatan fabrikasi. Perkarangan limbungan Kencana HL Sdn Bhd juga dilengkapi dengan jetti untuk proses pemindahan struktur atau dikenali sebagai pelantar laut lepas industri minyak dan gas. Kencana HL Sdn Bhd telah membesarkan lagi skop industrinya dengan menceburi bidang pembaikan dan pembuatan kapal.

Sejajar dengan perkembangan pesat industri kejuruteraan berat yang berorientasikan minyak dan gas, Kencana HL Sdn Bhd telah meletakkan aspek Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSE) sebagai misi utama dalam menerajui perjalanan perniagaannya. Visi dan Misi Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran terpahat di dalam Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran (HSE Policy) yang telah menyenaraikan elemen-elemen penting yang harus dicapai. Setiap elemen ini dirangka sebaik mungkin supaya ianya sesuai, relevan dan dapat memacu misi syarikat berkembang seiring dengan keperluan keselamatan dan kesihatan. Bagi menjadikan Kecana HL Sdn Bhd sebagai sebuah syarikat yang bertaraf dunia, elemen pengurusan keselamatan dan kesihatan diintegrasi bersama lain-lain element pengurusan. Dengan ini sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan dapat bergerak seiring dengan sistem pengurusan yang lain.

Elemen Penting Penyataan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Syarikat

Mematuhi sepenuhnya kehendak undang-undang kerajaan Malaysia.
Mengadakan persekitaran tempat kerja yang sihat dan selamat untuk kakitangan, pelanggan, kontraktor dan orang awam.
Mempromosikan kesejahteraan kesihatan dan mengelakkan penyakit pekerjaan di tempat kerja.
Mengenalpasti risiko bagi mengelakkan atau mengurangkan risiko kemalangan ke tahap minimum.
Mengelakkan kerosakkan terhadap harta benda.
Melindungi dan memelihara alam sekitar.
Mengamalkan dan memastikan peraturan kerja yang selamat di tempat kerja.
Memastikan sub-kontraktor mematuhi piawaian Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran di dalam syarikat dan industri.
Mencapai sasaran Kehilangan Masa Kerja Sifar (Zero LTI) untuk setiap projek yang dilaksanakan.

Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan

Bagi memastikan sistem keselamatan dan kesihatan terlaksana dengan efektif dan efisien, Kencana HL Sdn Bhd telah mewujudkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan di peringkat syarikat dan projek. Penubuhan jawatankuasa keselamatan dan kesihatan adalah satu tuntutan undang-undang keselamatan pekerjaan iaitu Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996. Peraturan ini mengandungi enam (6) bahagian yang menghuraikan kehendak undang-undang yang bersifat pengaturan kendiri yang memerlukan pihak majikan melaksanakan setakat yang pratik keperluan keselamatan yang baik.

Komposisi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan

Mengikut Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996, Bahagian II, Peraturan 5 (1), Sesuatu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan hendaklah terdiri daripada:

a) seorang pengerusi
b) seorang setiausaha
c) wakil-wakil majikan dan
d) wakil-wakil pekerja.


Kencana HL Sdn Bhd mempunyai dua (2) struktur jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang mana dibahagikan kepada keperluan syarikat secara pusat dan keperluan projek.

Keperluan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Peringkat Pusat

Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan peringkat pusat diketuai oleh Pengarah Urusan syarikat sebagai pengerusi dan Pengurus Keselamatan dan Kesihatan sebagai setiausaha organisasi. Wakil-wakil pekerja dipilih secara sistematik dari projek-projek yang dijalankan di permis Kencana HL Sdn Bhd contohnya Projek Petronas Carigali Sdn Bhd, Shell Sarawak Berhad, Murphy Oil Sarawak dan lain-lain lagi. Bagi wakil-wakil majikan pula, ahli dipilih dari pengurus-pengurus jabatan yang ada di permis Kencana HL Sdn Bhd seperti Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Kawalan Kualiti dan sebagainya. Organisasi ini akan bersidang mesyuarat dan memeriksa tempat kerja sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sekali. Pemeriksaan tempat kerja dikenali sebagai ‘Walkabout’ yang akan dimudahcarakan oleh Pengurus Keselamatan dan Kesihatan Kencana HL Sdn Bhd. Setiap ahli jawatankuasa akan diberi sekeping kertas untuk mengisi penemuan-penemuan yang signifikan dengan keselamatan dan kesihatan. Penemuan-penemuan ini akan dibawa ke sidang mesyuarat dan dibincangkan secara terperinci. Langkah-langkah kawalan yang efektif dan efesien akan disenaraipendekkan.
Rangkaan Dasar dan Penyemakan.

Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan peringkat pusat juga berfungsi untuk merangka dasar keselamatan dan kesihatan (jika belum ada) dan mengkaji semula dasar keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Sebarang cadangan dan pindaan bagi tujuan penyemakan akan dikemukakan kepada majikan untuk disahkan. Merangka dan menyemak semula dasar keselamatan dan kesihatan tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996, Bahagian III, Peraturan 11 (d).

Mengkaji trend kemalangan

Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan peringkat pusat akan mengkaji trend kemalangan yang begitu signifikan yang boleh memberi kesan kepada syarikat. Biasanya kemalangan-kemalangan yang melibatkan kecederaan dan kematian akan dibincang secara serius di peringkat ini. Selain itu kemalangan yang melibatkan kemusnahan harga dan aset syarikat yang melebih RM 1 juta juga akan diperbincangkan. Semua ini tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996, Bahagian III, Peraturan 11 (c).

Membincang hal ehwal kebajikan pekerja

Selain itu jawatankuasa keselamatan dan kesihatan peringkat pusat juga membincangkan berkenaan hal-ehwal keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja secara amnya. Wakil pekerja bebas untuk menyuarakan ketidakpuasan hati yang berkaitan dengan kebajikan mereka. Pihak majikan akan mendengar isu-isu yang dibangkit serta membincangkan sesama ahli jawatankuasa langkah-langkah kawalan yang berkesan.
Keperluan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Peringkat Projek

Setiap projek yang dijalankan di permis Kencana HL Sdn Bhd mempunyai jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang tersendiri. Organisasi akan diketuai oleh Pengurus Projek, manakala setiausahanya akan diketuai oleh Pegawai Keselamatan dan Kesihatan yang dipertanggungjawabkan bagi sesuatu projek. Wakil-wakil majikan dan pekerja akan dilantik dari kalangan staff dan pekerja projek berkenaan seperti Jurutera Projek, Perancang Projek dan Jurutera Kualiti bagi wakil majikan. Manakala wakil pekerja akan diwakili oleh pekerja yang dilantik seperti Penyelia, Pengimpal,Pemandu Kren dan sebagainya. Organisasi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan peringkat projek boleh dirujuk pada mukasurat sebelah.

Fungsi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Peringkat Projek

Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan peringkat projek berfungsi sebagai satu (1) organisasi yang mengurus, merancang dan melaksana program keselamatan dan kesihatan khusus kepada projek yang terlibat.

Setiap projek yang dijalankan di permis Kencana HL Sdn Bhd mempunyai jangkamasa yang tertentu (Project Period). Sepanjang masa ini, pelbagai program keselamatan dan kesihatan dirancang dan dilaksana bagi memenuhi tuntutan dan objektif keselamatan dan kesihatan tercapai. Misalnya setiap projek mempunyai misi tiada kemalangan Kecederaan Masa Hilang (LTI) dan Pembudayaan Kerja Selamat di kalangan pekerja.

Perancangan Program Keselamatan dan Kesihatan

Bagi memenuhi misi dan objektif keselamatan dan kesihatan tercapai, jawatankuasa keselamatan dan kesihatan akan merancang sebaik mungkin agar program yang dirancang terlaksana secara efektif dan efisien. Perancangan program ini dipanggil ‘Project HSE Plan’ ataupun Perancangan Kesihatan, Keselamatan dan Persekitaran Projek.
Promosi dan Komunikasi Program

Mengikut Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996, Bahagian III, Peraturan 18 (1), Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan hendaklah membantu majikan dalam apa-apa pertandingan berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan. Ceramah keselamatan dan kesihatan dan apa-apa kegiatan lain yang diadakan untuk menggalakkan perjalanan kerja yang selamat di tempat kerja. Menggalakkan pembudayaan kerja yang selamat memerlukan kaedah promosi dan komunikasi yang berkesan. Jadi program-program yang komprehensif perlu dirangka.

Program-program keselamatan dan kesihatan yang dirancang perlu dipromosi dan dikomunikasi kepada pekerja. Terdapat tiga (3) methodologi asas komunikasi iaitu:

Komunikasi Verbal
Komunikasi Non-Verbal
Contoh Tingkahlaku


Komunikasi Verbal

Komunikasi Verbal adalah komunikasi yang melibatkan penyampaian maklumat secara lisan sama ada dua (2) hala mahupun sehala. Kaedah ini boleh diaplikasikan semasa sesi perhimpunan mingguan dan harian seperti mesyuarat ’Toolbox’. Kaedah ini ternyata berkesan kerana penyampaian maklumat boleh disampaikan secara terus kepada pekerja dari pelbagai lapisan. Ahli jawatankuasa keselamatan dan kesihatan boleh mengambil peluang ini untuk menyampai dan mempromosikan program-program keselamatan yang telah dirancang. Di Kencana HL Sdn Bhd, mesyuarat ’Toolbox’ boleh diklasifikasikan kepada dua (2) jenis iaitu:

Mesyuarat ’Toolbox’secara pusat
Mesyuarat ’Toolbox’ secara seksyen

Mesyuarat ’Toolbox’ secara pusat dibuat dua (2) kali seminggu iaitu pada hari Isnin dan Jumaat. Sesi ini akan menampilkan personal penting syarikat seperti Pengarah Urusan untuk turun padang berkongsi maklumat sesama pekerja mengenai hal ehwal keselamatan dan kesihatan. Ini secara tidak langsung menunjukkan kepada pekerja komitmen majikan terhadap keselamatan dan kesihatan. Ia juga serampang dua (2) mata kaedah komunikasi ’Contoh Tingkahlaku’ dari majikan.

Mesyuarat ’Toolbox’ secara seksyen pula ditakrifkan sebagai pertemuan dikalangan penyelia dengan pekerja bawahannya. Mesyuarat ini lebih kecil dan spesifik kepada tugasan dan aktiviti contohnya kumpulan mesyuarat seksyen pengimpal. Kumpulan mesyuarat ini akan berbincang secara spesifik mengenai aktiviti kimpalan.

Ahli jawatankuasa keselamatan dan kesihatan boleh mengambil peluang ini untuk mempromosi dan menyampaikan isu-isu yang berkaitan keselamatan dan kesihatan dengan lebih rapat lagi kepada lapisan pekerja bawahan. Secara saikologinya, penyampaian maklumat lebih efektif dikalangan kumpulan kecil.

Komunikasi Non-Verbal

Komunikasi Non-Verbal adalah komunikasi yang tidak melibatkan penyampaian maklumat secara lisan. Ia lebih menjurus kepada penyampaian maklumat secara media massa. Kaedah ini boleh disampaikan dengan menggunakan medium seperti Buletin Keselamatan, Tontonan Video Keselamatan, Kuiz Berbentuk Tulisan dan pelbagai lagi. Namun begitu kaedah ini kurang berkesan kepada pekerja kerana secara umumnya pekerja tidak berminat untuk membaca dan menulis ataupun tiada upaya untuk membaca dan menulis (Buta Huruf). Kaedah ini hanya sesuai kepada golongan pekerja dari peringkat penyelia dan ke atas yang mempunyai latar belakang akedamik yang paling tidak boleh membaca dan menulis.

Contoh Tingkahlaku

Kepimpinan melalui tauladan adalah frasa kata yang sesuai dengan kaedah promosi dan komunikasi ini. Pihak pengurusan yang diketuai oleh Pengarah Urusan mestilah menunjukkan contoh yang terbaik dari segi keselamatan dan kesihatan kepada pekerja. Kaedah ini lebih merupakan kaedah saikologi yang mempengaruhi attitud pekerja. Pekerja akan mudah mengubah attitud dari tanggapan negatif terhadap keselamatan dan kesihatan kepada tanggapan positif dengan melihat kelakuan pemimpin mereka. Oleh itu, adalah amat penting bagi setiap ahli dalam jawatankuasa keselamatan dan kesihatan peringkat pusat mahupun projek mempunyai nilai-nilai murni keselamatan dan kesihatan.

Ketiga-tiga kaedah komunikasi di atas merupakan asas penting dalam mempromosikan elemen keselamatan dan kesihatan. Kaedah ini boleh diintegrasikan atau dikhususkan secara sistematik bagi tujuan penyampaian maklumat keselamatan dan kesihatan. Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan harus pandai memilih kaedah yang sesuai dengan kelompok sasaran yang sesuai agar sesi penyampaian maklumat dan promosi dapat dijalankan secara efektif dan efisien.

Melalui kaedah komunikasi yang berkesan juga, pihak pekerja boleh melapor dan membuat aduan mengenai ketidakpuasan hati terhadap keadaan keselamatan dan kesihatan atau apa-apa yang boleh memudaratkan keselamatan dan kesihatan orang tempat bekerja. Oleh itu majikan hendaklah mengadakan dan menyenggarakan suatu sistem komunikasi untuk membolehkan mana-mana pekerjanya membuat aduan, Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996, Bahagian III, Peraturan 16 (1).

Latihan dan Maklumat

Mengikut Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996, Bahagian V, Peraturan 28, Seseorang majikan tempat kerja hendaklah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memastikan bahawa anggota jawatankuasa keselamatan dan kesihatan mempunyai kefahaman dan pengetahuan asas tentang fungsi jawatankuasa di bawah Akta.

Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan yang mantap bergantung kepada ahli-ahlinya berpengetahuan dan berkemahiran. Jesteru itu, pihak pengurusan perlu memperkukuhkan program dan aktiviti melalui jawatankuasan keselamatan dan kesihatan agar mampu memberi kesedaran yang lebih tinggi terhadap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Antara latihan-latihan yang perlu dirancang dan dilaksana adalah:

Kursus Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Kursus Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan serta Organisasi
Kursus Pengenalpastian dan Penaksiran Hazad dan Risiko
Kursus Siasatan Kemalangan dan Laporan
Kursus Penyeliaan Tempat Kerja
Kursus Psikologi Industri


Kursus Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Kursus ini merupakan tunjang kepada sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan secara menyeluruh. Sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan boleh dibahagikan kepada beberapa elemen iaitu Dasar (Policy), Organisasi (Organization), Perancangan dan Pelaksanaan (Planning and Action), Penaksiran (Evaluation) dan Tindakan Pembaikan Berterusan (Action for Continual Improvement).

Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan harus memahami sistem ini sepenuhnya agar segala perancangan dan perlaksanaan dapat bergerak secara sistematik dan bersistem. Kencana HL Sdn Bhd mempunyai impian besar untuk mencapai tahap syarikat yang berkarateristikkan Pro-aktif. Terdapat empat (4) karakteristik syarikat dalam menangani isu-isu keselamatan dan kesihatan:

Ad hoc
Sistematik
Sistem
Pro-aktif


Ad hoc

Ad hoc merupakan tahap di mana syarikat tiada langsung sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan yang spesifik. Syarikat cuma bertindak atas masalah keselamatan dan kesihatan yang timbul.

Sistematik

Sistematik merupakan tahap di mana syarikat masih dalam membangunkan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan. Namun begitu ianya masih belum bertapak kukuh dan mempunyai sedikit personal yang mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Syarikat mengendalikan isu-isu keselamatan secara sistematik dan teratur tapi memerlukan bantuan dan sokongan dari pihak pakar contohnya konsultan bertauliah.

Sistem

Pada tahap ini syarikat telah mempunyai satu sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan yang kukuh dan beroperasi dengan sistematik. Syarikat juga mempunyai kepakaran yang boleh membangun dan mengendalikan sistem ini dengan efektif dan efisien.

Pro-aktif

Sistem pengurusan dan keselamatan yang mantap perlu ditunjangi dengan pembudayaan kerja yang selamat. Pada tahap ini, setiap personal di dalam syarikat mengetahui tanggungjawab masing-masing terhadap keselamatan dan kesihatan. Sistem kerja yang sistematik dan mengikut prosedur melicinkan pergerakan organisasi syarikat. Selain itu syarikat yang bersifat Pro-aktif juga mempunyai kepakaran dalam keselamatan dan kesihatan malah setiap personal di dalam syarikat mahir dalam hal ehwal keselamatan dan kesihatan. Sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan berintegrasi dengan sistem pengurusan lain menjadikan elemen keselamatan dan kesihatan sebagai salah satu sistem pengurusan yang memacu perkembangan perniagaan syarikat.

Kursus Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan dan Organisasi

Setiap ahli yang dilantik harus faham tanggungjawab dan fungsi mereka sebagai ahli jawatankuasa di dalam organisasi. Kursus jawatankuasa keselamatan dan kesihatan dan organisasi merupakan kursus yang mempunyai modul pembelajaran berkenaan fungsi jawatankuasa, kehendak undang-undang, tanggungjawab, sistem pengurusan organisasi, mesyuarat, perancangan dan pelaksanaan.

Kursus Pengenalpastian dan Penaksiran Hazad dan Risiko

Kursus ini merangkumi aspek pengenalpastian hazad, penaksiran risiko dan kawalan risiko. Kemahiran dalam mengenalpasti hazad dan risiko menjadi keperluan asas kepada setiap ahli jawatankuasa keselamatan dan kesihatan. Pengenalpastian dan penaksiran hazad dan risiko merupakan kaedah saintifik yang memerlukan analisis yang sensitif dan cermat.

Kursus Siasatan Kemalangan dan Laporan

Jawatankuasa keselamatan dan kesihatan berfungsi sebagai badan siasatan yang mengkaji trend kemalangan, kemalangan nyaris, kejadian merbahaya, keracunan pekerjaan atau penyakit pekerjaan yang berlaku di tempat kerja bersama-sama dengan cadangan untuk tindakan pemulihan. Kemahiran penyiasatan dan laporan kemalangan penting kepada setiap individu di dalam sesebuah jawatankuasa keselamatan dan kesihatan. Antara kemahiran yang diperlukan untuk menjalankan siasatan kamalangan adalah:

Memahami konsep siasatan dan dasar siasatan kemalangan.
Memahami prosedur dan kaedah siasatan dan laporan kemalangan mengikut kehendak undang-undang dan standard syarikat.
Kemahiran menggunakan peralatan bagi tujuan pencarian bukti.
Kemahiran menemubual saksi dan mangsa.
Kemahiran menganalisis bukti dan menghubungkait bukti-bukti.
Kemahiran saikologi.
Keperluan berhubung dengan agensi luar dan pihak yang berkaitan.


Kursus Penyeliaan Tempat Kerja

Penyelia merupakan golongan yang amat penting dalam sesebuah organisasi. Mereka adalah penggerak utama perancangan dan jentera operasi organisasi dan mereka juga adalah penghubung di antara para pekerja dengan pihak pengurusan. Kegagalan para penyelia dalam memainkan peranan dan fungsi mereka yang sebenar boleh mengakibatkan kegagalan kepada organisasi secara keseluruhan. Kursus ini penting kepada jawatankuasa keselamatan dan kesihatan sebagai satu (1) langkah memperkayakan kemahiran penyeliaan tempat kerja.

Kursus Psikologi Industri

Kursus ini merupakan kursus yang menjurus kepada kemahiran pengurusan keselamatan dan kesihatan secara pendekatan psikologi yang menghuraikan kaedah, prinsip, dan pengetahuan untuk meningkatkan keberkesanan pekerja dalam industri. Pekerja yang berkesan ada hubungannya dengan peningkatan prestasi industri. Terdapat beberapa aspek dalam organisasi yang boleh diguna untuk meningkatkan keberkesanan pekerja dibincangkan dalam kursus ini seperti motivasi, kepimpinan, kelompok dan pengurusan konflik, pengurusan tekanan, persekitaran kerja dan sebagainya.

KESIMPULAN

Keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan) 1996 yang mengkehendaki syarikat membentuk jawatankuasa keselamatan dan kesihatan setakat yang praktik telah memacu Kencana HL Sdn Bhd membentuk struktur jawatankuasa yang konstruktif dan sistematik. Fungsi jawatankuasa keselamatan dan kesihatan memenuhi kehendak dasar dan melaksana program bagi mencapai misi dan objektif dasar. Bagi memastikan krebiliti jawatankuasa keselamatan dan kesihatan terus kukuh, aspek latihan perlu dititikberatkan agar setiap ahli jawatankuasa keselamatan dan kesihatan dapat mempertajamkan kemahiran dan attitud mereka.

RUJUKAN:

Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
Health, Safety and Environment Plan. Kencana HL Sdn Bhd
Health, Safety and Environment Manual. Kencana HL Sdn Bhd
Health, Safety and Environment Management System. Kencana HL Sdn Bhd
Health, Safety and Environment Policy. Kencana HL Sdn Bhd
Ismail Bahari. Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Edisi Kedua.2006

No comments:

Post a Comment