Keselamatan Elektrik Bhgn 3

Pengelasan Alatan Elektrik

Terdapat dua (2) kelas peralatan elektrik yang digunakan secara meluas di negara ini. Ia dikelaskan berdasarkan ciri-ciri keselamatan dan rekabentuknya.

Peralatan Elektrik Kelas I

Peralatan elektrik kelas 1 melingkungi semua alat elektrik yang badannya dibuat daripada logam. Semua peralatan jenis ini mestilah disambungkan ke punca kuasa menggunakan wayar mudah lentur 3 teras iaitu wayar hidup (coklat) dan wayar neutral (biru) yang diperlukan untuk membolehkan peralatan elektrik berfungsi.Wayar bumi (hijau/ kuning) pula diperlukan untuk memastikan arus bocor tidak mengalir ke tubuh pengguna, tetapi terus ke bumi apabila terjadi kerosakan seperti wayar hidup tersentuh pada badan logam peralatan tersebut. Ini boleh menyelamatkan pengguna dari renjatan elektrik.

Peralatan Elektrik Kelas II

Peralatan elektrik kelas ll pada amnya ialah peralatan elektrik yang badannya dibuat daripada bahan-bahan bukan pengalir elektrik seperti plastik. Terdapat juga peralatan yang badannya diperbuat daripada logam pengalir elektrik seperti video tetapi masih dikelaskan sebagai peralatan kelas ll. Ini kerana ia mempunyai sistem penebatan berganda (double insulation) iaitu penebatan pertama membolehkan ia berfungsi dengan sempurna manakala penebatan kedua memastikan pengguna tidak tersentuh dawai pengalir elektrik jika terjadi kerosakan.

Pengurusan Keselamatan Elektrik

Di Malaysia didapati 80% pengguna-pengguna elektrik di pepasangan domestik dan tempat kediaman adalah terdiri daripada yang kurang berpengetahuan mengenai keselamatan elektrik. Manakala kurang daripada 20% pengguna-pengguna elektrik adalah pengguna komersial dan industri.

Aspek pengurusan dalam keselamatan pengendalian alat elektrik adalah satu bidang yang penting bagi mengelakkan sebarang insiden dan kemalangan daripada berlaku. Pengurusan yang baik dan teratur membuahkan hasil kerja yang baik dan bersistematik. Ini secara tidak langsung meminimakan hazad dan risiko yang melibatkan elektrik. Pengurusan keselamatan elektrik diaplikasikan kepada aktiviti yang melibatkan pengendalian alatan elektrik yang merangkumi dari tataamalan permulaan kerja hingga akhir. Tataamalan ini menjadi petunjuk kepada pengendali agar melaksanakan kerja dalam keadaan yang sistematik dan selamat. Di dalam konteks pengurusan keselamatan elektrik, aspek langkah kawalan hazad elektrik dari segi kawalan kejuruteraan dititikberatkan. Langkah kawalan kejuruteraan hazad elektrik boleh dibahagikan kepada:

Sistem pembumian
Penggunaan bahan antistatik (bertujuan mengurangkan hazad elektrostatik)
Penebat berganda (double insulators)
Penggunaan fius untuk mengelakkan pengaliran arus yang tinggi.
Pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE)


Program Keselamatan Elektrik


Program Keselamatan Elektrik adalah satu program yang dibangunkan atas inisiatif individu atau pihak pengurusan. Tujuan utama Program Keselamatan Elektrik adalah sebagai kaedah promosi kesedaran dalam skop sistem kerja selamat dan pembangunan kemahiran pekerja.
Antara program yang boleh diatur:

1) Membangun dan melaksana program keselamatan yang komprehensif.

2) Program ini harus disemak dan dikemaskini agar ianya menepati kehendak masa dan keadaan kerja.

3) Menyediakan latihan yang mencukupi kepada pekerja dalam skop pengenalpastian dan mengawal hazad yang berkaitan dengan elektrik.

4) Menyediakan latihan yang spesifik dalam pengendalian alatan elektrik.

5) Latihan yang menjurus kepada kemahiran secara kopetensi.

6) Membangun dan melaksana prosedur kawalan hazad elektrik yang meliputi prosedur ’lock-out and tag-out’.

7) Menyediakan alat memeriksa dan mengesan kepada pekerja yang bekerja secara langsung dengan alat elektrik untuk memastikan tahap kerja dan fokus yang baik dan selamat.

8) Membangun dan melaksana program pemeriksaan berkala dan tidak berkala di tempat kerja.

9) Menggalakkan pekerja menyertai program-program keselamatan yang dirangka.

10) Menyediakan kelengkapan perlindungan diri yang sempurna.

11) Menyedia dan melaksana analisis kerja selamat kepada semua aktiviti kerja yang berpotensi dalam risiko dan hazad elektrik.

No comments:

Post a Comment