Signifikan Dasar

Lima (5) faktor penting di dalam kejayaan Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Kencana HL Sdn Bhd.

Kefahaman

Kefahaman kepada Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Kencana HL Sdn Bhd. adalah amat penting sebelum sebarang aspek perlaksanaan dasar dilakukan. Keperluan membuat Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar tertakluk kepada majikan yang komited dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja khususnya di permis Kencana HL Sdn Bhd. Dasar ini perlu diterangkan kepada semua ahli di dalam syarikat bermula dari peringkat pengurusan hinggalah ke peringkat pekerja bawahan. Ianya adalah penting dalam memastikan misi dan visi keselamatan dan kesihatan syarikat dicapai dan dilaksanakan secara berkesan. Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Kencana HL Sdn Bhd digubal dan disemak oleh pihak tertinggi syarikat yang diwakili oleh Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan setiap tiga (3) tahun. Sebarang perubahan dasar akan dibincang oleh jawatankuasa ini. Jawatankuasa Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Kencana HL Sdn Bhd diketuai oleh Pengarah Urusan sebagai pengerusi dan Pegawai Keselamatan dan Kesihatan sebagai setiausaha jawatankuasa. Bagi memastikan setiap lapisan pekerja memahami Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar syarikat, Pengarah Urusan Kencana HL Sdn Bhd mengambil inisiatif memberi taklimat khas berkaitan Dasar Kesihatan. Keselamatan dan Alam Sekitar syarikat di perhimpunan awam pekerja dan majikan setiap tiga (3) bulan sekali sepanjang tahun. Dengan cara ini, para pekerja dalam memahami dan mengemaskini pemahaman mereka terhadap halatuju dasar serta visi dan misinya. Selain itu Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Kencana HL Sdn Bhd juga sebagai pengerak utama dalam mendukung dan melaksanakan promosi kesihatan, keselamatan dan alam sekitar kepada setiap lapisan pekerja di syarikat. Antara program yang diatur setiap tahun dan setiap bulan seperti mengadakan kempen keselamatan dan kesihatan, hari keselamatan syarikat dan pelbagai lagi bagi menarik minat dan suasana keselamatan yang harmoni dikalangan pekerja dan majikan.

Komitmen Majikan

Sokongan penuh majikan merupakan aspek penting dalam menentukan Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Kencana HL Sdn Bhd berjaya dilaksanakan. Secara umumnya, pihak tertinggi pengurusan Kencana HL Sdn Bhd menyokong dan memberi perhatian terhadap Dasar Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar. Ini dapat dibuktikan dengan penglibatan Pengarah Urusan sebagai ketua organisasi besar Kencana HL Sdn Bhd. Namun begitu, sokongan dari akar umbi seperti pegawai-pegawai yang signifikan dalam organisasi contohnya Pegawai Pengurusan Sumber Manusia dan Pentadbiran Kewangan adalah sangat minima kerana peruntukan dana Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar adalah amat diteliti sepenuhnya dan disekat. Walaubagaimanapun masih ada peruntukan dana yang dikhaskan untuk Program Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar.

Objektif

Tiada makna sebuah Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar sekiranya tiada objektif yang jelas. Objektif sesuatu dasar adalah tunjang utama dalam penghasilan sebuah Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar yang jelas, padat dan lengkap. Apa yang penting ialah objektif yang mudah dicapai. Secara keseluruhan gambaran, Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Kencana HL Sdn Bhd telah menyentuh asas utama yang perlu ada di dalam sesebuah dasar bertulis. Objektif ini yang akan menjadi penanda ukur kejayaan sesuatu dasar sesebuah syarikat. Namun begitu, kenyataan Dasar ”...Mematuhi sepenuhnya kehendak Undang-undang Kerajaan...” adalah satu misi yang sukar dicapai secara realistik di Kencana HL Sdn Bhd.

Dasar Sebagai Budaya Kerja

Untuk memastikan objektif Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar berjaya antara lainnya ’Pembudayaan Kerja Selamat’ oleh setiap lapisan pekerja di dalam syarikat. Aspek pembudayaan kerja selamat ini dilaksanakan secara sistematik yang diberi tanggungjawabnya kepada Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar. Pihak Jabatan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar komited dalam memenuhi dasar ini dengan perancangan program yang sesuai dilaksanakan di semua peringkat lapisan pekerja. Antara program-program yang telah dirancang di dalam ’Perancangan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar’ adalah seperti:

1.Program induksi keselamatan bagi setiap pekerja baru,
2.Program induksi berterusan bagi pekerja yang pernah bekerja di Kencana HL Sdn Bhd,
3.Program kesedaran budaya kerja selamat dan
4.Program kesihatan umum.

Budaya kerja selamat ini juga harus dipromosikan di peringkat barisan ’Penyelia’ dan ’Kumpulan Pengurusan Projek’. Ini adalah penting dalam memastikan mesej keselamatan dan kesihatan pekerjaan dapat disampaikan secara berkesan melalui hubungan rapat penyelia dan pekerja. Satu kajian asas yang dilaksanakan oleh Jurutera Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar Kencana HL Sdn Bhd menunjukkan keputusan yang signifikan yang mana methodologi penyampaian isu berkaitan keselamatan lebih effektif jika penyelia itu sendiri menyampaikan mesej berkaitan keselamatan. Penyelia adalah orang yang paling memahami tingkalaku dan keadaan kerja yang berkaitan.

Keselamatan Sebahagian Dari Perniagaan

Sebagai sebuah syarikat yang berorientasikan industi kejuruteraan berat minyak dan gas, aspek Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar adalah agenda utama dalam perjalanan perniagaan. Petronas Carigali Sdn Bhd misalnya selaku klien utama Kencana HL Sdn Bhd amat menitikberatkan isu keselamatan dan kesihatan, contohnya Kontrak Pembinaan Kejuruteraan yang memerlukan syarikat memenuhi tuntutan yang menjelaskan keperluan Kesihatan dan Keselamatan. Ini secara tidak langsung menjadikan aspek Keselamatan sebagai elemen penting dalam perniagaan syarikat.

Kesimpulan

Dasar Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar merupakan tunjang utama misi dan visi syarikat. Dalam memastikan dasar ini berjaya, Aspek kefahaman dan pelaksanaan perlu dititikberatkan yang bermulanya dari pihak majikan seterusnya pekerja.

Nota Kaki: Dasar juga dikenali sebagai Polisi

No comments:

Post a Comment