Keselamatan Elektrik Bhgn 2

Hazad Elektrik

Elektrisiti ataupun arus boleh membunuh. Saban tahun kemalangan yang berpunca dari elektrik direkod. Di United Kingdom misalnya sebanyak 1,000 kemalangan yang melibatkan elektrik dilaporkan. Biasanya kemalangan ini melibatkan kontak secara langsung manusia dengan alatan elektrik yang terdedah contohnya menyentuh kabel elektrik yang luka. Kemalangan yang melibatkan elektrik ini berlaku bilamana prinsip asas keselamatan elektrik tidak dititikberatkan.

Hazad elektrik boleh dikelaskan dengan beberapa jenis:
Hazad Elektrostatik
Hazad Kebakaran
Hazan Pengcahayaan (mata arka)
Hazad Renjatan

Hazad Elektrostatik

Elektrostatik terhasil oleh cas elektrik yang terperangkap di dalam penebat. Cas-cas ini mempunyai voltan yang tinggi tetapi arus yang rendah. Kesan elektrostatik ini akan menyebabkan kejutan. Elektrostatik boleh menjadi hazad kepada manusia bila ia mempunyai voltan tinggi yang boleh mengakibatkan kecederaan mahupun kematian. Elektrostatik juga boleh menjadi hazad kepada persekitaran yang berisiko untuk mewujudkan sumber pencucuhan dalam persekitaran mudah terbakar.

Hazad Kebakaran

Kita sering mendengar kemalangan yang berpunca dari elektrik pastinya melibatkan kebakaran. Fenomena ini berlaku berpunca dari litar pintas, lebihan tenaga mengalir (overload) dan lain-lain. Kegagalan ini menyebabkan percikan api ataupun penjanaan tenaga haba yang tinggi yang berpotensi dalam menyalakan api. Pelepasan cas statik juga penyebab kepada hazad kebakaran.

Hazad Pengcahayaan (mata arka)

Pengcahayaan yang melampau mampu merosakkan sistem penglihatan kita. Mata manusia begitu sensitif dengan cahaya lampau. Hazad ini terdiri dari cahaya ultraungu yang terhasil dari arka elektrik dari silauan cahaya aktiviti kimpalan. Apabila mata melihat secara langsung punca cahaya ini, ianya akan memberi kesan yang dipanggil ’Konjuntinitis’

Hazad Renjatan

Renjatan elektrik adalah hazad utama pada manusia. Renjatan elektrik terjadi bila badan atau anggota badan bersentuhan dengan sumber arus elektrik. Arus ini akan mengalir di dalam badan manusia dan terus ke bumi untuk dineutralkan. Kesan renjatan elektrik ini memberi kesan yang serius dan boleh membawa maut. Arus yang mencukupi menyebabkan fungsi anggota badan terjejas seperti kekejangan otot, kegagalan jantung dan melumpuhkan sistem pernafasan.

Berikut adalah antara contoh-contoh keadaan dan kelakuan yang terdedah kepada potensi bahaya elektrik:

Pepasangan dilakukan oleh orang yang tidak kompeten.
Mengganggu pergerakan jangka.
Membuat penyambungan dari rumah ke rumah.
Melakukan penyambungan terus ke pepasangan SESB.
Pepasangan dalam premis tidak diuji secara berkala.
Menyambung beban tambahan tanpa kebenaran.
Radas dan pendawaian yang tidak selamat ataupun tidak terlindung.
Sistem pembumian (earthing) tidak diperiksa.
Melakukan penyambungan tanpa jangka (tidak berdaftar).
Menggunakan bahan atau pepasangan yang bermutu rendah ataupun tidak berkualiti.

Sumber: Suruhanjaya Tenaga dan Komunikasi, Malaysia

No comments:

Post a Comment